Resepi Buttermilk Chicken

Resepi Buttermilk Chicken | Dah lama teringin. Akhirnya beberapa hari lepas, tertunai juga hasrat nak masak sendiri Buttermilk Chicken ni. Sejak dari sebelum adik saya datang ke Johor sampai lah dia da balik semula ke Bintulu, memang tak terbuat lauknya. Padahal dah planned juga, hari terakhir sebelum dia balik ke Sarawak tu, nak buat sama-sama. Hurmm. Biasalah, kita merancang, Allah juga merancang kan. Dan sebaik-baik perancangan itu adalah dari Allah.


Kalau korang google, ada banyak resepi Buttermilk Chicken ni sebenarnya. Dengan macam-macam versi juga. Saya ambil resepi Buttermilk Chicken yang paling senang di iResepi, dan ubah ikut citarasa saya sendiri. Kalau tengok resepi asal di iResepi, segala jenis bawang dan cili padi tu hanya dihiris dan dipotong dadu. Tapi disebabkan saya tak suka bawang yang jelas kelihatan dalam masakan (nanti dibuang begitu saje), maka saya ubah dengan mengisar bahan-bahan tu.

Rasanya masih sedap dan kuahnya jadi lebih pekat dan menyalut ayam. Entah ya, ada orang mungkin lebih suka Buttermilk Chicken yang berkuah banyak. Saya suka aje kedua-duanya. Nak kuah banyak, tambah lagi susu atau air. Yang penting perasakan garam dan gula secukupnya supaya rasa buttermilk tu tak lari.

Ayuh, tengok resepi lepas ubahsuai.

Saiz hidangan: 3 - 4 orang makan
Masa penyediaan: 10 + 30 minit
Masa memasak: 15 - 20 minit

Bahan-bahan:
1/2 ekor ayam, dipotong kecil
1/2 tin susu segar Dutch Lady
3 ulas bawang putih*
1/2 biji bawang besar holland atau bawang besar biasa*
4 biji cili padi (boleh tambah lagi kalau nak pedas)*
4 sudu besar mentega
2 tangkai daun kari

Bahan-bahan untuk tepung salutan ayam:
2-3 sudu besar tepung gandum
1 sudu besar serbuk kari
1 biji telur
Sedikit garam

Cara-cara menyediakan ayam:


  1. Bersihkan ayam dan toskan airnya.
  2. Masukkan telur dan garam ke atas ayam dan gaulkan sebati.
  3. Masukkan tepung dan serbuk kari. Gaul supaya tepung pekat dan menyaluti ayam. Perap selama 30 minit atau lebih.
  4. Goreng ayam di dalam minyak panas sehingga garing. Angkat dan ketepikan.


Cara-cara membuat Buttermilk Chicken:


  1. Kisar halus bahan-bahan bertanda * dengan sedikit air.
  2. Dalam kuali, panaskan butter sehingga cair dan tumis bahan kisar hingga air kering sedikit. 
  3. Masukkan daun kari dan tumis lagi hingga naik bau.
  4. Masukkan susu segar, kemudian masukkan ayam yang digoreng tadi.
  5. Masak sehingga kuah sedikit pekat. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya.
  6. Rasa, jika ok boleh tutup api dan dihidangkan dengan nasi panas.


**Ada juga tips untuk goreng ayam dengan tepung serbaguna yang sedia ada di pasaran untuk proses menyediakan ayam dengan lebih cepat.

Selamat mencuba!

2 comments: