Kek Lapis Sakura


Mungkin memang dah terlambat kalau saya nak share tentang kek lapis yang saya buat untuk hari raya yang lepas. Tapi orang kata, resepi available sepanjang zaman kan? Jadi, tak salah kalau saya kongsikan juga resepi ni walau dah masuk Zulkaedah pun. Mana tau kot-kot ada yang berminat nak mencuba?

Kek Lapis Sakura, nama yang saya berikan untuk kek lapis yang siap pukul 4 pagi 1 Syawal 1434H ni. Alkisahnya, saya terdetik nak mencuba bila ternampak strawberry chips yang Pak Cik Mat Gebu share kat Facebook dia pada bulan puasa yang lepas. Kalau strawberry chips tu ditabur pada plain layered cake, mesti sweet. Kalau tambah asam manis, boleh jadi reranting pokok bunga sakura. Ehhh, nak try lah!

Maka, kat Sarawak hari tu, saya pun gigih mencari strawberry chips, takut-takut tak ada. Alhamdulillah, kat pasaraya biasa pun ada, tak perlu ke kedai bahan kek. Akhirnya saya mulakan operasi membakar agak lewat malam sebab menyiapkan tempahan kawan-kawan sekolah dulu. Balik kampung pun agak lambat masa tu. Huhu. Tapi alhamdulillah, berhasil juga dan puas hati saya! Kek nya pun sedap dan lembut!

Jom tengok resepi!


Kek Lapis Sakura

Resepi: Sunah Sakura
By: Sunah Sakura

Saiz: Loyang 8" x 8"

Bahan-bahan:

10 biji telur ayam gred A
500 gram mentega
200 gram gula halus/kastor
300 gram susu pekat manis
1 sudu besar ovallate
1 sudu teh esen vanilla
250 gram tepung Hong Kong
100 gram Horlicks
2 bungkus hawflakes
strawberry chips secukupnya

Cara-cara membuatnya:

  1. Pukul mentega dengan gula sampai putih. Masukkan telur satu persatu dan pukul lagi hingga kembang dan sebati.
  2. Masukkan esen vanilla dan ovallate. Gaul rata dan masukkan susu pekat manis. Pukul dengan kelajuan perlahan hingga adunan sebati.
  3. Masukkan tepung dan Horlicks sedikit demi sedikit sambil dipukul lagi dengan kelajuan paling rendah hingga adunan bergaul sebati.

Cara-cara membakar:
  1. Griskan dasar loyang dengan mentega dan alaskan dengan baking paper.
  2. Panaskan oven pada suhu 175 - 200 'C mengikut kepanasan oven masing-masing.
  3. Bakar 5 sudu makan adunan untuk lapisan pertama dengan menggunakan api atas dan bawah. Bila dah keperangan, bakar 5 sudu makan adunan untuk lapisan kedua dengan menggunakan api atas sahaja. Bakar hingga 4 lapisan, kemudian cucukkan asam hawflakes secara menyerong/menegak seperti sisik ikan pada satu arah sahaja (ingat arah cucukan asam hawflakes ini atau untuk lebih mudah, buatkan tanda pada loyang).
  4. Selepas habis mencucuk, lapiskan dengan 5 sudu makan adunan lagi dan masukkan ke dalam oven. Buat sampai 3 lapis dengan setiap lapisan ditabur strawberry chips.
  5. Selepas itu, cucukkan pula asam hawflakes ke arah yang bertentangan dengan yang asal, untuk membentuk ranting.
  6. Ulang langkah 4 dan 5 sampai habis adunan.
  7. Untuk lapisan terakhir, bila dah keperangan, tukar api atas dan bawah pada suhu 150 'C dan bakar lagi selama 10 minit.

Cara-cara penyimpanan:
  1. Bila kek dah sejuk, keluarkan dari loyang dan balut dengan aluminium foil.
  2. Masukkan dalam peti ais dan keluarkan untuk dipotong serta dihidang bila perlu.

Sunah Sakura

| JDT Blogger | UTM PhD Student | Part Time Baker @ Selera Sakura | Email: siti_hasunah@yahoo.com

2 Comments

Previous Post Next Post