Ya, lagi sekali.
Sebenarnya dah banyak kali buat. Dan kali ni, saya menerima tempahan daripada pelanggan UTM yang sama pernah menempah dulu. Kek yang sama juga. Cuma kali ni kaler dia lain sikit dan ada perubahan sikit pada bahan dia. Sebab apa? Sebab biskut marie ada 200 gram saja. Maka saya tambah tepung Hong Kong lagi 100 gram. Kek dia, alhamdulillah. Nice dan memuaskan hati saya.
Jom tengok resepi!
Kek Lapis Asam Manis
Resepi: Sunah Sakura
By: Sunah Sakura
Loyang: 8" x 8" x 3"
Bahan-bahan:
10 biji telur gred A
200g tepung biskut marie (biskut marie dikisar halus, diayak dan kemudian barulah ditimbang)
100g tepung Hong Kong
100g tepung Hong Kong
500g mentega berkualiti/pure creamy butter (saya guna SCS)
1 sudu besar ovallete
75ml air sejuk (dari peti ais)
1 sudu kecil esen vanilla
100g gula kastor
300g susu pekat manis
haw slice/ hawflakes secukupnya
sedikit pewarna ungu, oren dan hijau
Cara-cara membuat:
- Pukul mentega dengan gula hingga putih. Masukkan esen vanilla dan ovallete. Pukul lagi biar rata baru masukkan susu dan pukul dengan kelajuan perlahan hingga sebati.
- Masukkan pula telur satu per satu dan pukul lagi hingga kembang. Masukkan tepung biskut marie dan tepung Hong Kong, gaul rata-rata sebelum memasukkan air sejuk. Putar sebati dengan kelajuan paling minima.
- Bahagikan adunan kepada 3 bahagian. Warnakan ungu, oren dan hijau.
- Sementara itu, panaskan oven pada suhu 180-200 C atau mengikut kepanasan suhu oven masing-masing. Sediakan loyang yang telah disapu mentega dan dialaskan dengan kertas minyak/baking paper.
- Masukkan 5 sudu besar adunan untuk lapisan ungu ke dalam loyang dan ratakan. Kemudian grill/bakar sehingga keperangan (lebih kurang 5-7 minit) dengan api atas dan bawah. Setelah masak, keluarkan dari oven. Sekiranya lapisan nampak tidak sekata, tekankan perlahan-lahan dengan alat penekan kek. Setelah itu, tuangkan lagi adunan ungu dan ratakan. Buangkan gelembung/bubble jika ada atau hentak-hentakkan sedikit loyang tersebut sehingga bubble pecah dan adunan nampak licin. Barulah dimasukkan semula ke dalam oven dan bakar hingga perang (ini untuk memastikan kek tidak berlubang-lubang dan lapisannya cantik sekata).
- Buat lagi untuk lapisan ungu hingga menjadi 3 lapisan. Untuk lapisan yang ketiga, susunkan kepingan hawflakes secara rawak atau mengikut citarasa. Kemudian bakar hingga perang (tak perlu ditutup dengan adunan). Kemudian masukkan lapisan ungu lagi dan ulangi proses hingga habis. Ulang untuk warna oren dan hijau juga hingga adunan habis. (PASTIKAN ADUNAN SENTIASA DIKACAU SEBATI DENGAN SENDUK/SPATULA/SUDU SEBELUM MELAPIS)
- Guna api atas dan bawah untuk lapisan pertama dan lapisan seterusnya menggunakan api atas sahaja sehingga habis. (Jika kek kurang masak, bakar untuk keseluruhan dengan menggunakan api atas dan bawah selama 7-10 minit dengan suhu 140 C-160 C)
- Setelah masak, keluarkan dari oven dan sejukkan kek terlebih dahulu sebelum dipotong. Untuk menyimpan lebih lama, balutkan kek dengan plastik dan simpan di dalam bekas kek. Kemudian disejukkan ke dalam peti sejuk.
Tags:
kek lapis