Alhamdulillah.
Tetiba terdetik nak buat nasi ayam jenis ni. Siap google-google resepi sebab tekak teringin nak makan NASInye ayam...lebih nakkan nasi dari ayamnye...boleh? Hahaha. So, buat aje lah guna apa yang ada kat rumah disamping mempertahankan menu sihat. Oh, dah lama tak update kat blog ni, sejak dua menjak ni asyik masak menu sihat aje, tak share lak kat sini. Ada juga permintaan untuk saya share resepi menu-menu sihat yang saya post gambarnya kat Instagram tu, tapi belum terbuka hati lagi untuk merajinkan diri mengedit gambar dan menaip pepanjang. Hahaha! Adohai...insya'Allah nanti ada masa saya update menu sihat ye!
Disebabkan kat rumah ada isi ayam aje, takde ayam seekor, maka kita pakai isi ayam aje buat air rebusan. Pada saya, kalau nak nasi ayam yang betul-betul ummphhh, eloklah guna ayam seekor atau ayam dengan bahagian tulang dicampur sekali. Baru sedappppp! Kat rumah ni, ayam takde kulit, minyak bijan, daun sup, salad, daun pandan semua takde. So, pepandai la kita menukar selagi rasa dia tak lari banyak. Minyak bijan, saya tukar kepada minyak zaitun ekstra dara. Ha nkoo! Dalam bahasa omputihnye, Extra Virgin Olive Oil. Hihi.
Ada banyak versi untuk memasak Nasi Ayam Hainan ni. Ada yang kena kukus, ada yang hanya rebus saja. Tapi yang penting, ayam untuk Nasi Ayam Hainan tak perlu digoreng atau dibakar. Sebab tu ia sejenis menu sihat. Untuk resepi pertama kali buat Nasi Ayam Hainan yang sihat dan menyihatkan ni, saya ubahsuai resepi dari Kak Ros Jintan Manis.
Jom tengok resepi!
Resepi: Kak Ros Jintan Manis
By: Sunah Sakura
Bahan-bahannya:
Bahan A (ayam)
5 keping isi ayam
2 ulas bawang putih (ditumbuk)
2 inci halia (dipotong nipis)
1/2 kiub pati ayam Knorr
sedikit garam
Bahan B (sambal lada)
1 1/2 biji cili merah
2 ulas bawang putih
1/2 biji bawang besar
1 inci halia
1 sudu kecil Extra Virgin Olive Oil
1 sudu besar gula
2 sudu besar sos cili Life
1 sudu besar cuka makan
Bahan C (nasi)
3 cawan beras biasa atau beras jasmine (kuantiti beras ikut isi rumah)
1 sudu besar mentega
2 ulas bawang putih (ditumbuk)
2 inci halia (ditumbuk)
1 sudu besar Extra Virgin Olive Oil
Bahan D (sup Ayam)
1/2 bahagian air rebusan ayam tadi
1/2 bahagian bahan tumis nasi ayam
sedikit lobak dan brokoli
hidangan sampingan
timun
Cara membuatnya:
1. Mula-mula letak isi ayam dalam periuk dan masukkan air, biar ayam tenggelam, masukkan juga bawang putih dan halia, kemudian masukkan garam dan kiub pati ayam, rebus ayam hinnga masak lebih kurang 1/2 jam. Angkat ayam dan ketepikan.
Air rebusan ayam tu bahagi dua, akan digunakan untuk sup dan nasi ayam nanti.
Bila nak makan nanti letakkan sedikit kicap cair, renjis sedikit minyak zaitun.
2. Buat sambal lada - blender semua bahan B dan masak hingga agak pekat.
3. Untuk nasi pula, panaskan minyak dan tumis bahan yang ditumbuk bagi Bahan C iaitu bawang putih dan halia, setelah agak garing separuh bahan tumis tu dicurah ke dalam periuk nasi ayam, separuh lagi akan digunakan untuk sup ayam nanti. Masukkan separuh air rebusan ayam tadi, masak nasi seperti biasa dan masukkan juga sedikit Extra Virgin Olive Oil.
4. Di dalam periuk lain, masak sup ayam hingga mendidih dan masukkan separuh bahagian bahan tumis nasi ayam tadi, akhir sekali masukkan pula lobak dan brokoli, tutup api. Kalau ada daun sup, letak la daun sup ye.
Ok dah siap, hidang bersama hirisan timun. Kalau ada tomato, letak la tomato (adohai). Walaupun step nye nampak banyak, tapi bila dah buat senang je, tak guna banyak masa pun. Selamat Mencuba.