Resepi Ayam Gunting Mudah

Ayam Gunting Homemade

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Ini sepatutnya dimasukkan ke dalam blog, lama dahulu. Tapi baru hari ni saya terdetik hati nak masukkan bila jumpa balik gambar-gambar lama. Buat ni masa dah malas nak berblog. Nasib baik gambarnya masih simpan lagi. Boleh masukkan bila mood berblog datang balik.

Resepi ayam gunting ni pernah viral satu masa dulu. Resepinya yang mudah diikuti dan pasti jadi, menyebabkan ramai yang mencuba termasuk saya sendiri. Saya pertama kali makan ayam gunting homemade di kat rumah seorang rakan blogger utara, Laila Azwa, yang dah pencen berblog. Haha. Bila makan kat sana, saya teruja sebab rasanya seperti makan ayam KFC. Sedap sangat!

Jadi, saya minta resepinya terus dari Wawa. Dia guna resepi dari Facebook Salimah Olie. Rahsia ayam gunting homemade yang sedap adalah menggunakan tepung goreng Bestari. Tepung ni korang boleh cari kat pasaraya Tesco atau Econsave. Ada pilihan original dan pedas. Kalau suka pedas, boleh terus pakai yang pedas. Masa tu, saya tak jumpa tepung ni. Jadi saya pakai aje tepung goreng ayam yang ada kat kedai Maslee.

Jom tengok macam mana nak buat!

Bahan-bahan:

Dada ayam secukupnya.
Tepung Serbaguna Bestari + 1 sudu kecil soda bikarbonat
1 biji telur + secubit garam dipukul sedikit
Minyak masak secukupnya
Serbuk cili atau/dan paprika atau/dan lada sulah
Plastik untuk mengetuk ayam. (Saya guna zipper plastik "sealable" IKEA)

Cara-cara membuatnya:

  1. Masukkan sekeping atau dua keping dada ayam ke dalam plastik. Ketuk hingga ayam leper, tapi jangan sampai hancur.
  2. Dada ayam yang dah dileperkan, gaul dalam tepung yang dah dicampur dengan soda bikarbonat.
  3. Celupkan ke dalam bancuhan telur sekejap, kemudian gaulkan semula dengan tepung tadi.
  4. Goreng dalam minyak panas, pastikan ayam tenggelam. Balikkan bila sebelahnya dah masak keperangan.
  5. Tuskan minyak.
  6. Gaulkan dengan serbuk cili, paprika atau lada sulah kalau suka pedas.
  7. Lepas tu boleh lah digunting-gunting dan dimakan bersama sos kegemaran.


Selamat mencuba!

No comments